Monday, April 27, 2009

Babi Oh Babi...

Selesema babi cetus kebimbangan global


HONG KONG - Pegawai-pegawai kesihatan di Asia berada dalam keadaan berjaga-jaga semalam ketika penyakit selesema babi yang membunuh puluhan orang di Mexico kini menular ke New Zealand sekali gus meningkatkan risiko berlakunya wabak global.

Kerajaan rantau Asia yang pernah bergelut dengan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan selesema burung, meningkatkan pengawasan di lapangan-lapangan terbang dan menggesa orang ramai supaya berwaspada.

Langkah itu susulan pengumuman Menteri Kesihatan New Zealand, Tony Ryall semalam bahawa 10 pelajar negara itu yang baru-baru ini melawat Mexico dijangkiti selesema babi.

"Saya dimaklumkan oleh pegawai-pegawai kesihatan bahawa mereka disyaki menghidap selesema babi," katanya.

Menurutnya, sampel darah semua pelajar itu sudah dihantar ke makmal Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) di Melbourne bagi mendapatkan kepastian.

Sementara itu, pegawai-pegawai Mexico memberitahu, angka kematian akibat wabak baru itu meningkat kepada 81 orang di mana 10 daripada mereka dipercayai dijangkiti di Amerika Syarikat, dua di Perancis dan seorang di Israel.

Penularan cepat itu dipercayai berpunca daripada perjalanan udara di peringkat antarabangsa.


Kelmarin, WHO memberi amaran virus selesema babi berpotensi merebak menjadi pandemik dan melabel wabak semasa sebagai cemas dan mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Di Jepun, pihak berkuasa mengetatkan pemeriksaan terhadap para penumpang dari Mexico dengan mereka diberi topeng muka dan menjalani imbasan termal bagi memastikan sama ada mereka mengalami demam.

"Jepun perlu memastikan penyakit itu tidak merebak ke dalam negara ini," kata Perdana Menteri Taro Aso.

Kawalan ketat turut dilaksanakan di Hong Kong, Indonesia dan Thailand.

Penghidap penyakit yang dipercayai berpunca daripada jenis terbaru virus H1N1 itu akan mengalami demam, sakit tekak, batuk, sakit sendi yang diikuti dengan jangkitan paru-paru.

Setakat ini ubat untuk selesema burung Tamiflu dikatakan berkesan merawat penyakit maut itu. - AFP


Sumber : KOSMO Online

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Topup2u