Thursday, March 4, 2010

Vaksin halal meningokokus

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) melalui jaringan strategiknya dengan Institut

Finlay dari Cuba mencipta sejarah dalam bidang pengajian tinggi apabila kedua-dua

pihak mencapai persetujuan untuk membangunkan vaksin halal pertama bagi

penyakit meningokokus yang dikenali sebagai tetravalent meningococcal ACW135Y

vaccine.


Perkara itu diputuskan menerusi majlis menandatangan memorandum perjanjian

oleh kedua-dua pihak di Kedutaan Besar Malaysia di Havana, Cuba pada satu majlis

yang turut disaksikan oleh Ketua Penasihat Saintifik Majlis Negara Republik Cuba,

Dr. Fidel Castro Diaz-Balart dan Duta Besar Malaysia ke Republik Cuba, Yean Yoke

Heng.


Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dzulkifli

Abdul Razak dan Presiden Institut Finlay, Francisco Dominguez Alvarez.


Melalui perjanjian tersebut, Sanggar Sains, anak syarikat sepenuhnya milik USM,

akan berperanan dalam mengkomersialkan vaksin tersebut.


Kerjasama seumpama itu merupakan detik paling bersejarah buat kedua-dua pihak

khususnya dalam menyelesaikan kemelut kesihatan ekoran penularan penyakit

meningokokus yang banyak melanda rakyat di negara-negara membangun dan

mundur.


Dzulkifli dalam satu kenyataan berkata, kerjasama di antara USM dengan Institut

Finlay bermula sejak lapan tahun lalu dan sepanjang berkolaborasi, kedua-dua pihak

telah membangunkan pelbagai jenis penyelidikan, antaranya berkenaan penyakit

turbekulosis.


Katanya, penyelidikan turbekulosis yang terdahulu telah memberi pelbagai manfaat

khususnya dari aspek pertukaran kepakaran, staf dan para pelajar di antara USM dan

institusi pengajian tinggi Cuba itu.


"Perkembangan baru ini yang melibatkan cabang penyelidikan lain nyata menjadi

satu lagi inisiatif kita dalam membangunkan nasib golongan bottom billion, sekali

gus meletakkan nama Malaysia sebagai antara pengeluar vaksin halal terkemuka di

pentas global,'' katanya.


Sementara itu, Francisco Dominguez pula berkata, kerjasama yang sekian lama

terjalin itu akan sentiasa diteruskan dan kedua-dua pihak akan meneroka peluang-

peluang penyelidikan baru demi manfaat masyarakat di negara-negara membangun

dan mundur.


"Visi dan matlamat di antara USM dengan Institut Finlay tidak jauh berbeza iaitu

untuk mencari penyelesaian efektif dan boleh diakses penduduk negara-negara

miskin yang amat memerlukan bantuan dan sokongan," jelas beliau.


Tambah beliau, selain mencari penyelesaian, kerjasama itu juga dapat

mengembalikan kegemilangan teknologi dan tamadun Islam sebaris dengan

penghasilan yang dicipta oleh barat.


Penyakit meningokokus adalah penyakit jangkitan bakteria serius yang disebabkan

oleh sejenis bakteria dikenali sebagai Neisseria meningitidis.


Ia menjadi penyumbang utama kepada jangkitan bakteria meningitis kepada

kanak-kanak di seluruh dunia yang berumur dalam lingkungan dua tahun hingga 18

tahun yang jika tidak menerima kaedah rawatan sempurna boleh membawa kepada

maut.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Topup2u